Welcome to My Website

Semua tulisan di dalam weblog yang diambil untuk paparan di mana-mana medium sama bercetak atau secara maya, hendaklah disertakan sekali pautan kepada weblog ini.

Pembetulan : Hadith yang sangat berkuasa untuk saya.

Ditulis oleh kawakib_duriyah Selasa, Disember 22, 2009 2 ulasan

Sebelum ini saya pernah berkongsi tentang hadith yang saya suka sejak dibangku sekolah lagi. Ia sangat memegang jiwa saya selama ini. Hadith berkenaan adalah riwayat Aisyah r.a.;
Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya.
Sumber : Hadith ini diriwayatkan di dalam Sahih Ibn Hibban, dalam Kitab al-Bir wa al-Ihsan, No. Hadith 276.

Hadith ini secara jujurnya saya dengar dari kaset ceramah politik Datuk Seri Haji 'Abdul Hadi Awang. Saya menyangka bahawa ia adalah hadith sahih pada ketika itu. Apabila diteliti, hadith ini tidak sahih jika disandarkan kepada Nabi s.a.w. Menurut Ibn Abi Hatim di dalam Kitab al-Ilal, beliau telah bertanya kepada Abu Zur'ah al-Dimasyqi berkenaan hadith ini dengan sanad yang sama dengan sanad yang dikemukakan oleh Ibn Hibban di dalam Sahih Ibn Hibban di atas. Abu Zur'ah membetulkannya dan mengatakan bahawa ia adalah hadith mawquf, iaitu dari kata-kata Aisyah r.a. bukan dari kalam Rasulullah s.a.w. Jika disandarkan hadith di atas kepada Aisyah r.a. maka ia ada sahih. (Rujuk: Kitab al-Ilal, No. Masalah 1800, hlm. 1247)

Semoga hadith ini masing memegang jiwa saya selama-lamanya. Hanya Allah s.w.t. Maha Berkuasa ke atas kita semua.

Nota : Sanad ialah rantaian perawi-perawi bagi sesebuah hadith.
Mawquf ialah hadith yang disandarkan kepada sahabat r.a. bukan kepada Nabi s.a.w.

Hanya Allah

Ditulis oleh kawakib_duriyah Selasa, Disember 15, 2009 0 ulasan

Hanya Allah segalanya
Pengubat duka
Penyeri sunyi
Berbicara penuh syahdu
Umpama hidup bahagia
Tanpa dosa tanpa noda

Hanya Allah jua
Kita mendamba
Kita setia
Kita tertawa
Kita suka

Namun ada tetapi
Allah datang kita lari
Allah suruh kita lawan
Allah suka kita benci
Allah beri kita tidak peduli
Allah puji kita keji

Seteruk itukah kita?
Atau cuma kata-kata di kala senja
Mungkin tidak, mungkin ya
Hanya kita tahu apa
Allah lebih Bijaksana
Sejauh mana kita lari
Semakin laju Allah mendekati

Hanya Allah sahaja
Kita perlu puji
Kita perlu puja
Kita perlu sanjung

Ya Allah...
Berikan kami sayap ampun
Untuk kami terbang mendekatimu
Jangan biarkan kami lari dariMu
Kerana takut dari cemeti murkaMu

Hanya Allah sahaja... Allah...

Kawakib Duriyah
-tanpa tarikh-
Gombak, Selangor